Wednesday, May 27, 2015

Wirid

27 Mei 2015
1653
Wad Geriatrik U13

Sudah masuk waktu asr dan kini aku membaca mathurat - berhenti sebentar untuk menulis. Ibu Ah Keng laju mengulangi zikir Buddha-nya ditemani tasbih manik hitam ditangannya. Dia orang yang 'kuat sembahyang' sama seperti seorang sister di cubicle belakang yang seringkali datang menjenguk kami, sentiasa tersenyum berpakaian kemas t-shirt polo sambil menyatakan bahawa dia sudah sembahyang untuk maktok. Lucu, terharu dan kesian. Sangat kuat kebergantungan mereka kepada Tuhan tetapi Tuhan pilihan adalah Tuhan patung beraneka ragam, Tuhan manusia.

Peh, rata-rata umat Islam pun sama. Kadang-kadang tidak perasan diri sudah meng-ilahkan yang selain dariNya. Ini cakap diri sendiri punya masalah juga.

*terbakar*

Mata maktok melakukan pusingan 360 darjah, kepalanya menoleh kekiri dan kekanan. Bunyi separa berdehem yang keluar daripada mulutnya hanya kedengaran sekali sekala, diiringi gelengan atau sekadar satu tenungan yang dilemparkan jauh menembusi dinding-dinding cubicle-nya.

Alhamdulillah, susu maktok dah dinaikkan kadar pemberian kepada 125ml setiap 4 jam. Sudah mampu bernafas tanpa cannula atau oxygen mask, tekanan darah sudah stabil dengan hanya kadaran dopamine 1.5 ml/h. Syukur.

Alhamdulillah, aku juga sedikit sebanyak belajar cara untuk menguruskan maktok dan menukar lampinnya, refleksologi kaki dan pengalihan posisi maktok untuk mengelakkan bed sore. Sungguh, para jururawat dan paramedik disini terlalu banyak jasa mereka yang tiada pernah disebut atau diberi cukup penghargaan. Bila melihat usaha mereka, rasa seperti mahu beli KFC 10 bucket untuk belanja makan tengahari dan malam setiap hari.

Sudah jam 5.13 petang. Tiba masa untuk sambung bacaan. Kedengaran bunyi guruh, menandakan hujan kan tiba. Mungkin kan termakbul bacaan doa mathurat kita eh maktok.

*senyum*

No comments:

Post a Comment