Sunday, May 31, 2015

Pergi

1 Jun 2015
0504
Wad Geriatrik U13

Pakcik dihadapan katil maktok sudah pergi. Daripada susuk gaya salah seorang anak lelakinya, nampak betul sangkaan aku itu. Awal pagi semasa aku hendak pergi meletakkan kerusi tidurku di bilik stor, aku bertanyakan khabar atuk itu kepada cucunya.

"Tak berapa bagus. Tunggu masa tutup mata sahaja."

Dua orang jururawat yang bertugas malam ini sedang melakukan sesuatu disebalik tirai dalam cubicle atuk berbangsa Cina yang umurnya sudah lanjut seperti usia nenekku. Cuma, beza maktok dan atuk itu ialah sementara maktok masih lagi mampu mengeluarkan bunyi dari bibirnya, atuk itu sudah sunyi sepi. Tiada lagi gerak tangannya seperti waktu petang tadi semasa dia dipindahkan ke cubicle HDU (high dependency unit) bersama kami bertiga. Maktok yang sudah stabil keadaan sepatutnya dipindahkan ke cubicle belakang, tetapi disebabkan keadaan atuk; penghuni baru cubicle HDU terlalu kritikal, maka ditangguhkan dahulu perpindahan maktok. 

"I wonder if working in the hospital, you get so used to all these deaths occuring."

Itu soalan kakak Abang Leong pada aku semasa kami menunggu masa untuk masuk kedalam cubicle malam semalam. Semasa atuk melalui Code Red, tidak dibenarkan sesiapa selain doktor dan jururawat untuk masuk kedalam cubicke itu. Maka kami; penjaga shift malam pun terpaksa tunggu diluar. Mahu saja aku menjawab tetapi terlebih dahulu sister yang selalu datang berkunjung ke cubicle kami mengambil peluang untuk berkongsi petua yang dia dapat daripada kawan Buddhist-nya untuk tabur cuka dan garam keliling rumah ala-ala mau buang bala. Aku mendengar sahaja perbualan mereka dengan senyum sumbing. Ada-ada sahaja petua yang hendak dikongsi. 

Alhamdulillah, Anthem sudah aku khatamkan. Dan seperti biasa, tiada pernah karya Hlovate yang tidak berjaya buat aku tersentuh dan mahu kembali semula meniti maksud untuk berubah keranaNya.

Syahadatul Haq
Ahamiyatul Tarbiyyah
Sayonara Jahiliyah
Peranan Pelajar dalam Membina Masa Depan Dunia

Serius. Best. Tapi memang kalahlah kalau kita bandingkan dengan buat sesi bedah ayat Quran daripada Ustaz Fizz Fairuz (nama dibedal ikut suka hati penulis). Namun, buku novel setebal 593 mukasurat itu sangat refreshing. Refresh niat especially. 

Maktok masih dengan bunyi anehnya manakala jururawat sudah keluar masuk bahagian katil atuk di hadapan. Kehidupan itu adalah kurniaan Dia. Ada yang dipulangkan nyawa semula pada siang hari, ada yang disimpan selamanya tanpa diberi peluang untuk membuat rayuan bertulis. Itu namanya setiap yang hidup akan merasakan mati. Ajal itu sudah Allah tulis buat kita dan sudah Rasulullah sampaikan melalui hadith 4 dalam kitab Hadith 40 Imam Nawawi.

Sungguh bila sudah tiba masa, lari ke mana pun pasti ajal akan menjemput. Dan bila sudah ditarik nyawa, amal mana yang akan dipersembahkan, siapa pula yang akan menjadi saksi amal itu?

Friday, May 29, 2015

Selamat

29 Mei 2015
2207
Wad Geriatrik U13

Cubicle ini buat kesekian kalinya menjadi tempat tidur malamku. Sekarang, Bu akan mengambil alih tempatku dipagi hari kerana Speech Therapist maktok akan datang untuk mereka sama-sama memujuk maktok makan secara oral mengikut mulutnya yang hanya tinggal gigi bawah. Alhamdulillah, maktok dah tidak bergantung pada dopamine untuk stabilkan tekanan darahnya dan ubatan lain pula sudah mula diambil dengan susu bukan lagi secara IV. Maktok juga dah pandai senyum, sengih, merungut kepanasan dan melawan kata doktor dengan begitu degilnya. Haha. Akhirnya nenek aku seperti sudah kembali dengan perangai 'cengeng'nya.

Entah kenapa, aku rasa lebih selamat berada di hospital daripada duduk berehat di rumah. Aku rasa lebih banyak buku dan kerja mampu aku lakukan dalam ruang ukuran 60x240cm ini jika dibandingkan di ruang bilikku yang luas tapi menyesakkan. Benar aku terasa, bahawa rumah itu seperti penjara. Kerana ia memberi peluang untuk badanku terlalu menagih rehat yang melayukan dan mencorak akalku untuk jatuh kedalam fasa 'kemelaratan'. 

Novel Anthem karya Hlovate yang dibiar berkurung dirumah setelah 9 bulan akhirnya aku belek kembali. Mungkin akan dapat kembali sisa semangat akhawat yang ditiupkan melalui isi SH yang pernah ditunjukkan roommate terchenta suatu ketika dahulu. Mungkin juga dapat meredakan hatiku yang bergelora teringat pada kisah silamku dengan seseorang itu. Eh.

Kini sukar benar perjuangan TZ yang dilaung-laungkan sebelum ini di Siraj beraama Ahlul Bergerak yang lain. Mahu menangis sebab air mata sudah tidak mahu mengalir dalam sujud taubat padaNya. Keras sudah hati, terlalu keras.

Ya Rabb, Ya Rahman, Ya Rahim, aku mahu sangat-sangat jumpaiMu dalam sujud tahajjudku, dalam setiap langkah dan nafasku. Ya Rabb, berilah aku ketakutan sampai aku takut giga mahu menzalimi diriku sendiri. 

*sayu*

Wednesday, May 27, 2015

Roti


'Ini roti tiga jenis wa manyak suka woo. Alhamdulillah rezeki, rezeki sangat-sangat.'

Itulah apa yang terlintas dihatiku tatkala kakak Abang Leong yang selalu menjaga shift malam katil U1331 datang menghulur roti yang dibelinya daripada Le Bread di Subang Jaya. Bersama-sama lintasan hati itu aku teringat ayat seribu dinar dalam Surah At-Talaq. Memang sungguh, Allah memberi rezeki daripada arah yang tidak kita sangka. Langsung.

Sungguh, aku sayang akak-akak, bibik-bibik, auntie-auntie yang menjaga saudara atau anak atau adik masing-masing di wad geriatrik U13.

Maktok sudahku ikat rambutnya tocang diatas seperti ibu mengandung, persis ibu-ibu yang dirawatnya semasa tempoh dia menjadi bidan pada zaman mudanya. Rambutnya kian luruh dimamah usia. Bicaranya hanya 'Hmm.. Mmm..' beserta gelengan kiri kanan dan acara toleh menoleh beserta jelingan mata yang menggambarkan betapa tua amatnya nenekku ini.

BP: 120/69
SpO2: 95%
MAP: 89 mmHg

Langsir ditarik dan maktok diberikan buat sementara kepada dua kakak nurse yang baik hati, tiada lekang senyuman dibibir. Mahu sahaja aku menjadi seperti mereka, baik dan cantik amal budi pekerti. Aku yang perempuan pun cair. Kini baru aku mengerti perasaan ibu mencari calon menantu. Ehe. Moga amalan mereka ikhlas untukMu Ya Allah kerana terlalu baik perbuatan mereka untuk tidak Kau    ganjari dengan bergunung pahala.

Selesai sudah urusan maktok dicuci dan ditukar lampinnya. Nenek Lau pula sudah kedengaran suaranya, alangkah gembiranya jika kami semua dapat discharge pada masa yang sama. Tetapi, itu semua ketentuan Allah, kita manusia hanya mampu berusaha. Jam hampir menunjukkan pukul 11 malam. Lagi satu jam waktu susu maktok. Yok habiskan itu hadith 2 manyak panjang mahu hafal bikin pining sama saya. 

Wah baru satu hadith panjang, mahu mengeluh. Abu Hurairah apa ceghite.

*lap dahi yang acah-acah berpeluh*

Wirid

27 Mei 2015
1653
Wad Geriatrik U13

Sudah masuk waktu asr dan kini aku membaca mathurat - berhenti sebentar untuk menulis. Ibu Ah Keng laju mengulangi zikir Buddha-nya ditemani tasbih manik hitam ditangannya. Dia orang yang 'kuat sembahyang' sama seperti seorang sister di cubicle belakang yang seringkali datang menjenguk kami, sentiasa tersenyum berpakaian kemas t-shirt polo sambil menyatakan bahawa dia sudah sembahyang untuk maktok. Lucu, terharu dan kesian. Sangat kuat kebergantungan mereka kepada Tuhan tetapi Tuhan pilihan adalah Tuhan patung beraneka ragam, Tuhan manusia.

Peh, rata-rata umat Islam pun sama. Kadang-kadang tidak perasan diri sudah meng-ilahkan yang selain dariNya. Ini cakap diri sendiri punya masalah juga.

*terbakar*

Mata maktok melakukan pusingan 360 darjah, kepalanya menoleh kekiri dan kekanan. Bunyi separa berdehem yang keluar daripada mulutnya hanya kedengaran sekali sekala, diiringi gelengan atau sekadar satu tenungan yang dilemparkan jauh menembusi dinding-dinding cubicle-nya.

Alhamdulillah, susu maktok dah dinaikkan kadar pemberian kepada 125ml setiap 4 jam. Sudah mampu bernafas tanpa cannula atau oxygen mask, tekanan darah sudah stabil dengan hanya kadaran dopamine 1.5 ml/h. Syukur.

Alhamdulillah, aku juga sedikit sebanyak belajar cara untuk menguruskan maktok dan menukar lampinnya, refleksologi kaki dan pengalihan posisi maktok untuk mengelakkan bed sore. Sungguh, para jururawat dan paramedik disini terlalu banyak jasa mereka yang tiada pernah disebut atau diberi cukup penghargaan. Bila melihat usaha mereka, rasa seperti mahu beli KFC 10 bucket untuk belanja makan tengahari dan malam setiap hari.

Sudah jam 5.13 petang. Tiba masa untuk sambung bacaan. Kedengaran bunyi guruh, menandakan hujan kan tiba. Mungkin kan termakbul bacaan doa mathurat kita eh maktok.

*senyum*

Tuesday, May 26, 2015

Apron, Gloves and Mask

26 Mei 2015
1945
Wad Geriatrik U13

Ada lagi 15 minit sebelum waktu maktok harus diberi susu. Aku sampai ke wad maktok dalam jam 6.30 petang bersama kerusi HÄMO, 2 cushion merah, satu set cutlery sudu-garfu-pisau dan ceramic mug bersama ibu bapa tercinta untuk melihat maktok masih lagi dlm separa sedar bersama Bulita disebelah kirinya. Sudah tiba masa untuk aku mengambil semula tempatku menjaga maktok setelah seharian rehat dirumah. 

Alhamdulillah kaki sudah surut sedikit dari bengkaknya dan mata aku - walaupun bengkak, mampu untuk kembali berkhidmat menabur bakti. Hari ini ibunya Ah Keng juga sudah memakai mask dan sarung tangan sebagaimana kami semua yang menjaga pesakit di cubicle maktok disarankan untuk. Mereka semua mempunyai jangkitan kuman di paru-paru maka adalah amat penting untuk kami semua mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak menjadi mangsa seterusnya buat bakteria tersebut.

Tangan maktok dihayunkan lagi, dalam tiga minit sudah masa untuk memberinya susu. Aha. Sudah tahu masa eh maktok. 

Aku gerak dulu, syringe dan susu Fresubin menunggu.

Monday, May 25, 2015

Edema


Kaki bengkak macam maktok sudah sebab terkena edema gara-gara blood pooling akibat tidak banyak bergerak sana-sini dan tidur tidak melunjurkan kaki. 

Terasa benar perasaan menjadi ibu mengandung (macam ada kaitan) dengan kaki yang membengkak ini. Pasti mama juga pernah melaluinya dahulu, tiga kali dalam hidupnya. Siap bawa muatan nasi hampir 10kg dalam perutnya. Apalah sangat kaki bengkak aku ini. Uhuk.

Tadi baba kata aku pelajar perubatan Tahun 1 dan Dr Koh yang datang untuk melihat keadaan maktok segera menyarankan agar aku fikir sedalam-dalamnya samada mahu teruskan kerjaya sebagai doktor ataupun tidak. Baginya jika hidup solo tidak mengapa, apabila sudah berkeluarga banyak cabarannya. Kini baru aku mengerti mengapa ramai doktor berkahwin sesama mereka sahaja. Mungkin mampu memberi lebih motivasi sebab sama-sama mengerti perjuangan di lapangan perubatan ini. Aha. Itu semua pemberian ilahi. Kerana mati itu lebih pasti daripada duduk bergelak ketawa dengan zauj terchenta. (Batuk)

Tadi ada baca pasal Tazocin di Wiki, faham juga bila Dr Koh kata mahu buat continuous transfusion. Tazocin adalah ubat yang digunakan untuk melawan bakteria dalam badan maktok yang dengan giat dan gembiranya sedang melaksanakan 'tugasnya' mengikut fitrah yang telah ditetapkan Tuhan. Seminggu lagi kata doktor mahu tahan maktok di wad, alamatnya semakin bengkaklah kaki maktok - aku pun ikut serta dalam kumpulan kaki bengkak itu juga.

Dr Koh menulis lagi, apa agaknya yang ditulisnya. Neneknya Mea sudah pergi menemui Pencipta beberapa hari lalu. Maktok pula masih disini entah bertarung untuk pulang ke rumah atau bertarung untuk tidak mahu buangkan kahaknya, yang pasti masih tersisa lagi kudratnya untuk bergaduh dengan nurse jika dibandingkan nenek Mea yang tiada lagi di bumi Allah ini.

Ya Rabb, kau lebih tahu sebaik-baiknya pengakhiran buat kami. Berilah kekuatan, berilah yang terbaik.

Mengantuk

25 Mei 2015
1356
Wad Geriatrik U13

Mengantuk.
Sudah dua hari aku berkampung di PPUM. Mata sudah hampir terlelap buat berjuta kalinya sambil menatap maktok yang tangan kirinya diangkat dan dijatuhkan berulang kali seakan suatu tarian yang ingin dipersembahkan buat khalayak ramai namun hanya dia yang mengerti maksud setiap pergerakan itu. Nenek Lau yang duduk di katil hadapan maktok sudah dibawa pergi, mungkin untuk dilakukan CT Scan terhadapnya kerana sebelum dibawanya keluar daripada cubicle itu ada terdengar sayup-sayup suara jururawat menyebut perkataan neurosurgeon. Maktok masih degil mahu mengulum kahaknya yang disimpan rapi dalam mulut, seolah-olah seperti ada mutiara dalam mulutnya yang hanya tinggal barisan gigi bawahnya sahaja.

Tangan maktok belah kiri masih lagi dihayunkan kesana kemari, aku menaip diatas papan kekunci iPhone 5s kerana ini sahaja yang dapat aku lakukan supaya aku tidak hanya tidur diatas kerusi menunggu masa seterusnya untuk diberi maktok minum susu. Usaha maktok masih lagi tidak putus untuk mencabut alat bantuan pernafasannya. Aku bingkas bangun memperbetulkan semula tempat letaknya. Maktok menggeleng laju dan ditariknya tangan aku; memberi isyarat bahawa dia tidak mahu lagi memakai alat bantuan itu.

"Maktok, maktok mau sihat ke doq? Maktok pakailah naa." Aku tegurnya buat kali kedua dengan lebih lembut lagi.

Maktok mengalihkan pandangannya kearah lain, sepertinya dia sudah merajuk dengan kata-kataku yang agak tegas pada awal usaha aku mahu menegur tindakannya itu. 

"Maktok, akak mintak maaf kalau buat maktok terasa tadi. Mintak maaf naa maktok sayang."

Maktok tidak memandangku dan terus menggerakkan tangannya sesuka hati, tidak langsung memandangku kembali. Aku pun terus menulis, walau kepala seperti sudah mahu mengalah dengan rasa mengantuk dan sakit yang datang menjengah sekali sekala. Cubaan maktok untuk membuka alat bantuan pernafasannya buat kali ketiga aku betulkan manakala yang keempat, kelima dan keenam sempat aku halang. Bisikan zikir aku baca sedikit perlahan kerana tidak mahu mengganggu lagi dua jiran yang berkongsi cubicle yang sama.

'Maktok, akak ngantuk sangat nih. Janganlah buat perangai,' getus hati kecilku.

Mengantuk.
Teramat mengantuk.