Monday, May 25, 2015

Mengantuk

25 Mei 2015
1356
Wad Geriatrik U13

Mengantuk.
Sudah dua hari aku berkampung di PPUM. Mata sudah hampir terlelap buat berjuta kalinya sambil menatap maktok yang tangan kirinya diangkat dan dijatuhkan berulang kali seakan suatu tarian yang ingin dipersembahkan buat khalayak ramai namun hanya dia yang mengerti maksud setiap pergerakan itu. Nenek Lau yang duduk di katil hadapan maktok sudah dibawa pergi, mungkin untuk dilakukan CT Scan terhadapnya kerana sebelum dibawanya keluar daripada cubicle itu ada terdengar sayup-sayup suara jururawat menyebut perkataan neurosurgeon. Maktok masih degil mahu mengulum kahaknya yang disimpan rapi dalam mulut, seolah-olah seperti ada mutiara dalam mulutnya yang hanya tinggal barisan gigi bawahnya sahaja.

Tangan maktok belah kiri masih lagi dihayunkan kesana kemari, aku menaip diatas papan kekunci iPhone 5s kerana ini sahaja yang dapat aku lakukan supaya aku tidak hanya tidur diatas kerusi menunggu masa seterusnya untuk diberi maktok minum susu. Usaha maktok masih lagi tidak putus untuk mencabut alat bantuan pernafasannya. Aku bingkas bangun memperbetulkan semula tempat letaknya. Maktok menggeleng laju dan ditariknya tangan aku; memberi isyarat bahawa dia tidak mahu lagi memakai alat bantuan itu.

"Maktok, maktok mau sihat ke doq? Maktok pakailah naa." Aku tegurnya buat kali kedua dengan lebih lembut lagi.

Maktok mengalihkan pandangannya kearah lain, sepertinya dia sudah merajuk dengan kata-kataku yang agak tegas pada awal usaha aku mahu menegur tindakannya itu. 

"Maktok, akak mintak maaf kalau buat maktok terasa tadi. Mintak maaf naa maktok sayang."

Maktok tidak memandangku dan terus menggerakkan tangannya sesuka hati, tidak langsung memandangku kembali. Aku pun terus menulis, walau kepala seperti sudah mahu mengalah dengan rasa mengantuk dan sakit yang datang menjengah sekali sekala. Cubaan maktok untuk membuka alat bantuan pernafasannya buat kali ketiga aku betulkan manakala yang keempat, kelima dan keenam sempat aku halang. Bisikan zikir aku baca sedikit perlahan kerana tidak mahu mengganggu lagi dua jiran yang berkongsi cubicle yang sama.

'Maktok, akak ngantuk sangat nih. Janganlah buat perangai,' getus hati kecilku.

Mengantuk.
Teramat mengantuk.

No comments:

Post a Comment