Thursday, August 6, 2015

Kau Tak Tahu

Kau tak tahu
Yang memakai purdah itu 
Sebenarnya lemah dalam menahan matanya dari memandang

Kau tak tahu
Yang menghafal Quran itu 
Sebenarnya mudah terjatuh dalam lubang kegelapan maksiat

Kau tak tahu
Yang memakai tudung labuh itu
Sebenarnya seringkali digoda untuk mencampakkan maruah dirinya ke tanah

Kau tak tahu
Yang memberi tazkirah itu
Sebenarnya lebih diuji percakapannya dan masa lapangnya

Kau tak tahu
Ujian mereka
Nasib mereka
Dalam cubaan mempertahankan iman yang tinggal secebis cuma

Kau cuma tahu melabel
Mengherdik
Mempertikaikan
Memandang kolot
Segala usaha mereka

Dan akhirnya mencapai konklusi
"Kau orang semua hipokrit."

Hakikatnya kami melakukan semua yang kami lakukan ini kerana kami teramatlah lemah. Tanpa bacaan Quran, kami tewas. Tanpa iringan mathurat, kami longlai. Tanpa bulatan taman sorga, kami hilang arah. Kerana syaitan itu sangat kuat bisikan dan godaannya, kerana syaitan itu sangat licik dalam setiap langkah perangnya. Doakanlah kami, doakanlah kita semua. Sudah terlalu lama syaitan jahiliyah bermaharajalela, sudah terlalu lama manusia dibiar tiada bersama.

Maafkan aku, teman dan rakan. Bukanlah aku mahu berbangga dengan tudung labuhku, bacaan Quranku, mahupun fikiran Islamiku yang serba cetek ini. Sebab jujur aku kata, ujian aku terlalu berat untuk diungkap kata-kata dan jika diluahkan, pasti seisi dunia kan menghina aku tanpa kenal erti lelah. Maka teman dan rakan, sahabatku yang ku amat kasihi keranaNya....

Doakanlah aku.

Doakanlah umat ini.

Sebagaimana nazak aku rasa imanku kini berada, lagi nazak umat yang sudah bergelumang dengan norma jahiliyah yang fana.

No comments:

Post a Comment