Friday, June 5, 2015

Ikramul Kareem

6 Jun 2015
0137
Wad Geriatrik U13

Jam sudah menunjukkan bahawa tanggal 5 Jun telah berakhir sejam yang lalu dan aku kini sedang duduk diatas kerusi melihat nenekku yang sedang buas meragam diatas katil menahan geram atau sakit, itu aku tak tahu. Tangan kirinya diangkat, dihayunkan dan digesel ke arah bantal, katil dan besi penghadang tanpa mampu dijangka momentumnya. Kini maktok mula mengerang kesakitan sambil memanggil 'Mak, mak, mak!' Jeritannya yang terakhir begitu lantang, namun aku pasti jiran pesakit lain sudah lali dengan karenahnya. 

Maktok akan di-discharge-kan esok kata doktor. Alhamdulillah ala kulli hal, aku menghela nafas panjang melihat maktok mula menggerak-gerakkan tangannya kesana kemari seperti ingin menghalau lalat yang hinggap di pangkal lengannya. Melihat keadaan maktok sekarang yang semakin kuat menjerit, memekik dan memarahi orang sekelilingnya, dia bukan lagi nenekku yang dahulu.

Delirium.

Itu kata doktor tentang keadaan nenekku sekarang. Sangkaanku dementia with some hallucinations tapi aku tidaklah pakar untuk terus membuat diagnosis terhadap nenekku yang usianya sudah menginjak angka 90. Lagu Ikramul Kareem nyanyian UNIC berkumandang di telinga, aku buat sebagai teman aku pada malam ini untuk berjaga melihat maktok agar tangannya tidak lagi terlanggar besi sejuk yang menghadang sisi kiri, kanan dan atas katilnya. 

Melihat nenekku yang sedang mengeluarkan bunyi yang tidak dapat ditafsirkan itu diselangi lagu CintaMu nyanyian Hani & Zue, tiba-tiba aku teringat bahawa lagu Ikramul Kareem yang bakal dimainkan playlist telefon bimbitku sudah setahun sudah aku kenali. Hampir setahun sudah aku tidak ketemu Suhana dan Fatihah. Hampir setahun sudah aku tidak duduk bergurau dengan Atiq dan Hana Jackney. Hampir setahun Liyana Osman tidakku tenyeh pipi dan peluk kuat. Hampir setahun aku tidak duduk makan talam dengan pasukan crack-otak-buat-dan-pergi-program-fikir-pasal-keadaan-batch-dan-adik-adik-macam-takde-exam-IB-kena-amek. Rindu. Sungguh. Amat.

Pada kesunyian waktu malam ini aku tahu bahawa penemanku tatkala suka duka yang sentiasa ada hanyalah Dia. Dan dalam pencarian hakikatku dalam kehidupan dunia ini, Allah kurniakan aku mereka. Mereka yang sama-sama lentok kepala semasa bacaan tasbih mathurat kubra di pagi hari, mereka yang picit-picit bahuku tatkala aku terjatuh 'pengsan' semasa taujihat akak-akak dan ustaz, mereka yang menyuapku nasi-biskut-kuih-kek dan segala juadah yang Kak Farah bawa ketika usrah atau semasa daurah. Ya Tuhan, sungguh nikmat kau itu tiada batas. Dan indahnya ikatan itu bukanlah pada kemanisannya sahaja, tetapi pada curhat malam-malam bersama mereka, syuro pecah kepala susun isi daurah, takaful kongsi bayar duit tambang bersama untuk yang tak mampu, perjalanan balik jaulah yang mencabar, semuanya terlalu berharga.

Bantal maktok sudah dua yang dia mahu jatuhkan. Ubatnya tidak aku beri sepenuhnya sebab dia separa sedar dan cubaan awalku tidak berjaya kerana dia hanya membuka mulutnya, tetapi lidah dan tekaknya menolak isi ubat itu ditelan. Susu Ensure perisa coklat tiga paket itu juga tidak disentuh lagi walau satu kerana maktok nampaknya hanya mahu menari diatas katilnya dan bukan menerima apa-apa untuk dimasukkan ke dalam perut.

Nampak gayanya tiada tidur buatku malam ini kerana aku khuatir dalam tarian maktok itu dia akan terjatuh tersembam ke bumi. Mungkin 10-15 minit memadai untuk buat cukup syarat mampu solat tahajjud, boleh aku luahkan rindu pada Tuhan. Biarlah sudah banyak beza arah perjalanan hidup kami, biarlah walau mungkin tidak mampu ketemu lagi, temukanlah kami dibawah naunganMu dan jadikanlah kami mereka yang bertemu dan berpisah keranaMu.

Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah kami pada jalan agamaMu.

No comments:

Post a Comment